Saturday, October 11, 2014

Marathon Cinta 360 Darjah - Prolog

Prolog

            Langkah kaki terasa berat kala menuruni anak tangga. Tapak tangan pula terasa basah. Belum lagi didengar degup jantung yang berdendang mengalahkan lagu-lagu metal era 80-an dulu. Dia pejam mata rapat-rapat.
“Qirah, ayuh jalan. Semua orang tengah lihat tu,” seorang wanita pertengahan 50-an, memegang lengan Syaqirah. Suara yang sekadar berbisik di pinggir telinganya, sudah cukup membuat Syaqirah membuka mata luas-luas. Anak mata serta-merta bertembung dengan renungan lelaki yang agak lebih tua berbanding dengan wanita di sebelahnya. Syaqirah menghela nafas dalam-dalam, sebelum melarikan mata meliar menjelajah ke segenap pelusuk tingkat bawah rumah berkembar dua yang didiami sejak menginjak usia remaja. Hati terus pula dihambat rasa sayu mengenangkan nasib yang mendatang.
“Qirah, cepat turun,” gesa lelaki itu di hujung tangga yang rupa-rupanya sudah tidak sabar menanti majlis berlangsung secepat mungkin. Dalam masa yang sama, lengannya ditolak sedikit oleh wanita tadi. Memaksa Syaqirah melempar renungan penuh tanda tanya.
“Qirah, Rasydan tengah tunggu tu,” tokok wanita itu lebih halus lagi seraya menjuihkan bibir ke satu sudut. Pantas, Syaqirah menoleh mengikut arah yang diisyaratkan tadi.
Sekonyong-konyong debar di dadanya terhenti. Lelaki yang segak berbaju Melayu serba putih dengan songkok hitam berlabuci di tepi, sedang duduk penuh tertib di kelilingi orang ramai. Akal yang ligat bekerja tadi sudah terhenti jua. Ditilik lelaki itu lama-lama. Suasana di sekelilingnya pula seakan pegun sama. Hanya dia dan lelaki itu. Apatah lagi, kala lelaki itu berkalih dan renungan mata mereka bersapaan, ada sinar yang terpancar pada empat biji mata yang berbicara rasa.
Seperti yang diduga wanita itu, Syaqirah menapak laju menuruni tangga sehinggakan dia yang sepatutnya menuntun, sudah terpinga-pinga mengikut di belakang. Dia dan lelaki di hujung tangga tadi membisu bersama senyuman yang terarca. Hati mereka berdendang lagu yang sama. Memanjat syukur yang teramat.
“Syaqirah, mari duduk sini,” seorang wanita pula menyambut ketibaannya dengan senyuman mesra. Syaqirah menapak mendekati bersama senyuman hambar yang tidak terduga. Sebaik sahaja kakinya menginjak tempat duduk berbalut kain putih dengan manik bertaburan di tepi, ada sesuatu yang menegah langkahnya daripada terus duduk. Tempat duduk bulat setinggi dua jengkal dari atas lantai sudah terasa gebu dan empuk. Entah kenapa sekelumit pun tidak menarik minatnya. Debar di dada memuncak. Peluh terasa merenik-renik di dahi dan atas bibirnya. Lalu, anak mata sekali lagi meliar menggitari setiap mata yang memandang. Dia bertambah-tambah sesak dada. Nafasnya semput tiba-tiba. Ada sesuatu yang berselirat dan bersimpang-siur di benak akalnya. Sehingga neraca yang terpeta di situ akhirnya memberat jatuh ke satu arah.
Syaqirah pantas bertindak. Tanpa berfikir untuk kali kedua, dia mencongak setiap langkah tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya. Tekadnya membulat tanpa penjuru. Malah, seandainya langkah ini membawanya ke lembah berapi, dia tetap akan terjun gaung itu. Dia rela. Apa sahaja. Asalkan dia tidak berkahwin dengan Rasydan Zaidan.  
Serta-merta, baju kurung putih yang terasa berat tadi sudah diangkat sedikit tinggi. Dia terus mengatur langkah selaju kipas kudung. Menuju ke pintu rumah yang ternganga walau berkubukan para jemputan. Serentak itu, terdengar jeritan beberapa orang bersama raungan seorang wanita. Dia tetap tidak peduli. Sekilas pun, Syaqirah tidak menoleh. Apa nak jadi, jadilah! Dia tetap tidak akan pernah peduli lagi. Matlamatnya hanya satu. Dia mesti keluar dari rumah ini. Keluar daripada perkahwinan ini. Majlis pernikahannya sendiri. Lalu, dia tergocoh-gocoh berlari di sebalik himpunan manusia yang tergamam dengan adegan larian di balapan pernikahannya itu.
“Qirah, jangan lari. Jangan buat begini.”
Sekilas Syaqirah melingas mencari empunya suara itu. Dalam kekecohan itu, ekor matanya memanah pandang mencari segugus kunci kereta yang tergantung di tepi dinding pintu utama. Hampa hanya sedetik bertandang kerana dia tahu ke mana hilangnya kunci kereta saat anak mata menyambar renungan seorang lelaki yang sudah berdiri di belakang Rasydan Zaidan. Syaqirah tidak berganjak daripada tekadnya. Terus sahaja dia meluru ke luar rumah. Orang ramai yang terkemab dengan kemunculannya di situ, langsung tidak dihiraukan. Sebaliknya terus menggagahi diri melolos melalui pintu pagar rumah yang turut sama terbuka luas.
“Qirah...jangan buat begini. Kita boleh bincang lagi.”
Jeritan di belakangnya, mengekori sama langkah lajunya itu. Menggebu semangat yang sudah menoktahkan tingkah.  Syaqirah terus menerkamkan ke dada jalan sehingga bertembung dengan sebuah teksi yang sedang menurunkan penumpang. Tanpa berfikir, dia meluru masuk dan terus mengunci pintu.
“Cik, kenapa ni?” pemandu teksi itu pula yang kelihatan cemas. Kehairanan melihat kemunculan gadis yang berpakaian lengkap seorang pengantin. Matanya tidak lepas membelek Syaqirah yang masih termengah-mengah, sambil mengamati keluar tingkap.
Sebaik sahaja Syaqirah membolos ke dalam perut kereta, Rasydan Zaidan sudah muncul di sisi kereta bersama lelaki yang berada di belakangnya tadi. Tangan lelaki itu terus menghentak cermin kereta. Sedangkan wajah cuak Rasydan Zaidan yang terpampang jelas itu langsung tidak berbuat apa pun. Mungkin, masih terkemab lantaran tidak menduga reaksi bakal isterinya yang sedemikian rupa.
“Qirah, tolong jangan buat begini,” jerit lelaki yang seorang itu. Syaqirah menarik nafas berkali-kali. Memujuk hati mahu bertenang serta merencana aksi seterusnya.
“Qirah, kita boleh bincang dulu,” terdengar Rasydan Zaidan melaung. Syaqirah pantas menoleh. Direnung wajah Rasydan Zaidan dalam-dalam. Sayu memalit dalam hati. Air mata menitis setitik. Memohon pengertian lewat kerdipan mata yang berkaca-kaca. Lalu, Rasydan Zaidan kaku tanpa kata.
“Tidak! Tak ada orang boleh paksa Qirah kahwin. Jangan paksa Qirah. Qirah tak mahu!” akhirnya, Syaqirah bersuara membulatkan niat. Lelaki yang tidak berhenti-henti menghentak cermin kereta dan cuba membuka pintu itu tetap tidak endah keluhan Syaqirah. Sebaliknya, bergegas ke pintu sebelah pula.
“Pakcik, tolong saya pakcik. Mereka paksa saya kahwin. Saya tak nak. Tolonglah bawa saya pergi dari sini,” pinta Syaqirah pula kepada pemandu teksi dengan linangan air mata. Memancing simpati daripada lelaki tua itu. Entah apa suratannya sehingga lelaki tua itu terlibat dalam adegan pengantin yang lari ini. Terhimpit antara gadis yang jelas teraniaya dengan lelaki-lelaki di luar sana, hatinya berbelah bahagi. Tidak fasal-fasal nanti dia dituduh melarikan anak gadis orang.
Ketika Syaqirah melihat orang semakin ramai mengerumuni teksi itu, akalnya terketuk untuk bertindak apa pun. Apatah lagi, setelah lelaki akhir 50-an tadi sudah semakin hampir bersama wanita yang memimpinnya menuruni tangga yang sudah berlinangan air mata, azamnya mencacak ke langit tinggi.
“Pakciklah satu-satunya harapan saya. Tolonglah selamatkan saya. Tolong jangan biarkan mereka seksa saya. Saya tak mahu kahwin paksa. Tolonglah pakcik,” rayunya telus. Bersungguh-sungguh. Membiarkan rintihannya semakin menjadi-jadi.
Rasydan Zaidan mengalah tiba-tiba. Jiwanya tergores. Langkahnya terundur ke belakang. Apa pun yang sedang berlaku, sememangnya tidak pernah terpeta dalam lakaran mindanya. Tiada tanda, tiada isyarat. Ini kan pula desakan. Dia tidak percaya. Adegan apa yang sedang ditayangkan di hadapannya? Benarkah Syarifah Syaqirah yang direnungnya itu? Atau pelanduk yang bertopengkan muka manusia, kekasih hatinya itu?
Sesaat berlalu, tubuh Syaqirah semakin menjauh dan semakin jauh. Walau tampak berbalam-balam, dia sedar Syaqirah sudah terlepas daripada gapaian hidupnya. Teksi sudah pun bergerak laju dari situ. Meninggalkan perkarangan rumah, keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai. Juga lelaki yang sangat-sangat mencintai Syaqirah selama ini.
Rasydan Zaidan memerhati tanpa kata. Luka yang menggilis di dalam dada sangat-sangat menyayat hati. Dia tunduk, seakan menjilat luka yang terkelar di hati. Ada sebak yang menggigit di sebalik pintu hati. Dia mahu berlalu dari situ. Saat dia berpaling, bunyi kuat yang mengguruh dentum menghentak tubuhnya. Suara jeritan orang di sekelilingnya merembat gusar yang tidak ketahuan munculnya.

Sepantas kilat dia berpaling. Anak matanya garang memerhati orang yang tidak tentu arah berlari ke arah teksi yang sudah berhenti…atau dalam kata lain terpaksa berhenti. Asap berkepul-kepul dari bonet kereta. Cermin tepi kereta pecah. Sesusuk tubuh Syaqirah sudah ditarik keluar dari perut teksi oleh lelaki yang menjerit tak henti-henti tadi. Cemas menerpa tanpa sedar. Serta-merta, dia angkat kaki berlari ke arah Syarifah Syaqirah. 

No comments:

Post a Comment