Bab 1
Bingkai gambar dilap penuh cermat. Pembalut kertas berwarna kuning keemasan melingkari dan membentuk ‘love’ direnung dengan senyuman. Pembalut kertas yang masih jelas tertulis forrero rocher diguna pakai membentuk simbol. Siapa yang tidak tahu itulah jenama coklat kegemarannya.
“Amboi! Meleret saja senyuman tu setiap kali tengok bingkai forrero rocher tu?” suara di belakang jelas mengusik tingkahnya. Syarifah Syaqirah memicingkan mata. Namun, bibir masih terkuak dengan senyuman.
“Ada apa kau datang rumah aku? Tak ada salam, kau main masuk saja?” soalnya pada tetamu yang tiba-tiba muncul di belakangnya. Membulat mata gadis sebayanya itu. Senyuman terkulum serta-merta.
“Cantiknya bahasa menghalau aku? Kau ingat aku nak sangat ke datang rumah kau ni?” dia menempik marah yang dibuat-buat. Muncungnya sudah berinci-inci panjang. Kelat di wajah seakan bertindan-tindan. Dia tarik muka menayang wajah cemberutnya. Terasa terbakar dengan kata-kata kawannya itu. Tetapi, kakinya langsung tidak berganjak seinci pun.
Syarifah Syaqirah tertawa halus. Kemudian, dia berganjak turun dari katil dan mendepani tetamunya yang sudah melayangkan jelingan. Bingkai bergambar bentuk hati itu sudah tidak menarik minatnya. Bibir Syaqirah membulat dan mencacak ke depan. Jemarinya naik ke pipi sahabatnya itu. Dicuit pipi itu, sepintas lalu.
“Adoi! Sakitlah. Kau nak bunuh aku ke?” marah sahabatnya itu.
“Eleh, cuit sikit pun dah sakit. Tegur sikit pula dah tarik muka.”
“Cuit sikit kata kau? Ini bukan cuit lah. Ini cubit namanya,” dia membalas mencubit pipi Syaqirah yang semakin menggebu sejak beberapa bulan ni. Puas hatinya apabila Syaqirah menjerit sakit dan berusaha menepis tangannya.
“Oi, sudahlah. Orang gurau ajelah.” Syaqirah berlari, menjauhkan diri. Tetapi sahabatnya itu tidak berpuas hati. Mengejar dan berusaha melingkari tangan Syaqirah. Syaqirah merebahkan diri ke atas katil. Mengambil bantal dan terus menyorokkan muka di sebalik bantal itu. Sahabatnya tadi semakin ligat. Menindan tubuhnya dan mula menggeletek pinggangnya. Syaqirah tidak tahan kegelian lalu melepaskan bantal dan terus menolak tubuh sahabatnya itu sekuat hatinya. Sehingga tanpa diduga tubuh sahabatnya yang kurus kering, melayang bagai ditiup angin sehingga jatuh tergolek dari katil.
Senyap! Suasana sunyi seketika. Syaqirah dihambat rasa bersalah. Dia duduk terpaku. Sesaat berlalu, kepala sahabatnya masih tidak muncul. Hatinya dicakar resah yang membukit.
“Dayah?” panggilnya, sekadar berbisik.
Senyap lagi. Tiada jawapan.
“Dayah,” panggilnya meninggi pada kali kedua seraya membawa tubuhnya ke tepi katil. Sebaik sahaja dia mendongak ke lantai, serta-merta tubuhnya ditarik kasar sehingga dia jatuh tertenggek di atas tubuh sahabatnya tadi.
“Adoi! Sakitlah,” Hidayah menempik sambil menguis tubuh Syaqirah yang terpinga-pinga mahu bangkit. Malangnya, kaki terpijak telapak tangan Hidayah pula.
“Owh!”
“Sorry, sorry, sorry…” Syaqirah diramas rasa kesal. Dia tidak berniat menyakiti hati Hidayah. Hatta, tubuh sahabatnya itu. Malangnya, gurauan mereka sudah melepasi sempadan mainan. Dia gagahkan diri membawa tubuh Hidayah yang jelas kesakitan berbaring di atas katil. Wajah cemberut Hidayah bukan lagi olok-olok.
“Sorrylah Dayah. Aku kan gurau aje. Bukannya aku nak sakitkan kau,” Syaqirah membawa tangan kanannya memegang cuping telinga kirinya. Memohon maaf sambil menayang muka bersalahnya. Menagih simpati. Hidayah sekali lagi menebak jelingan. Tanpa sedar, senyuman terkuis di hujung bibirnya.
“Kau maafkan aku, kan. Aku tak sengajalah,” tokok Syaqirah yang sudah memeluk tubuh Hidayah.
“Tepilah. Tak usahlah nak peluk. Sakit tau!” pangkas Hidayah pula sambil menepis-nepis tubuh Syaqirah. Syaqirah tersenyum dan Hidayah berusaha menggenggam tawa.
Syaqirah kemudiannya berbaring di sebelah Hidayah. Kedua-dua sahabat baik itu senyap tanpa kata. Syaqirah mengamati kipas yang berputar perlahan di dalam bilik itu. Walaupun sudah diselimuti kesejukan penghawa dingin, Syaqirah tetap memerlukan khidmat kipas jenama Panasonic yang tidak pernah rosak atau diselanggara selama ini.
“Tak sangka kau dah nak kahwin,” tutur bicara Hidayah itu, menenggelamkan seri di wajah Syaqirah yang sememangnya tidak pernah berseri pun. Hilang, bagai dibawa terbang oleh angin yang terhasil daripada kipas di siling.
“Kahwin dengan lelaki yang sangat-sangat mencintai kau pula tu,” jujur Hidayah tumpang gembira. Siapa sangka lelaki itu sememangnya bersungguh-sungguh dalam merealisasikan makna cinta. Kalaulah Hidayah juga dicintai sedemikian rupa. Ah! Ada sahaja rasa cemburu yang menjalar dalam hatinya saat itu.
Menepis hasutan iblis yang entah apa-apa itu, Hidayah memalingkan muka ke sisi. Menjelajah wajah bakal pengantin di sebelahnya. Ketika mengintai riak di wajah Syaqirah, wajah Hidayah pula yang berkerut habis. Keningnya hampir sahaja bercantuman. Hairan. Dia yakin syak wasangkanya bersebab. Dia tidak membuat telahan yang tidak rasional.
“Kenapa? Kau nampak tak gembira pun,” Hidayah mencongak. Berharap sangat Syaqirah berterus-terang. Gadis itu memalingkan muka menatap wajahnya sepintas lalu.
“Tak ada apalah Dayah.” Syaqirah kembali menekuni setiap tebing bilah kipas. Tetapi, akalnya sudah bertebaran mengira hari istimewa yang semakin hampir.
“Cakaplah Qirah. Aku hairan betullah dengan kau. Kau ada masalah dengan tunang kau tu ke?”
Terdengar lagi Hidayah menyibukkan diri. Senyum simpul terbentuk di hujung bibir. Inilah masalah sahabatnya itu. Sukar benar melepaskan apa yang mencongak di mindanya. Setiap satunya mahu diselidiki. Mahu diperhalus sehingga tiada ruang untuk orang lain menyorokkan diri di sebalik tawa atau air mata pun. Semua bersebab, padanya. Syaqirah melayangkan kerlingan yang tajam. Menujahkan amaran.
‘Jangan nak menyibuklah, Dayah.’
Sebaliknya, Hidayah menarikan kening dan diselangi anak mata yang sengaja diputar ala-ala badut circus. Syaqirah menggigit bibir.
“Masalah? Masalah apa?” Syaqirah tertawa walhal Hidayah tetap berasakan ada sesuatu yang disembunyikan sahabat baiknya itu. Tanpa mengalah, Hidayah memiringkan tubuh. Siku dicacakkan ke dada tilam. Lalu, menongkah sisi kepala yang masih tidak henti-henti memangkah jawapan yang berkemungkinan.
“Manalah aku tahu? Auntie cakap kad kahwin dah siap. Tapi aku tak dapat kad lagi. Kau tak nak jemput aku ke?”
“Hish kau ni. Takkanlah aku tak jemput kau pula. Tapi kau tu yang belum dijemput sudah menolak.” Syaqirah tiba-tiba duduk berdepan. Mengajak tubuh Hidayah bangkit sama.
“Bila masa pula aku menolak. Takkanlah aku nak menolak apabila kawan baik aku sendiri nak kahwin,” sungutnya tidak berpuas hati. Anak mata mengunci renungan Syaqirah. Renungan yang mengajak Hidayah melayarkan fikiran penuh persoalan.
“Kau kata nak balik Sabah raya ni. Sebab tu lah aku tak jemput kau.”
“Eh…kau kahwin time raya ke?” Hidayah hilang harapan. Sungguh, dia tidak tahu.
Syaqirah mengangguk. Senang hati dapat melemparkan kembali paku buah keras milik Hidayah.
“Bila?” soal Hidayah, tetap pula memanjatkan harapan.
Syaqirah bangkit. Kad kosong belum bertulis tangan diambil dari dalam laci meja komputer di sudut tepi bilik itu. Disua kepada Hidayah. Tak sabar, Hidayah merampas lalu membelek kad jemputan wangi berwarna hitam bertintakan dakwat putih. Dibacanya sepintas lalu. Syaqirah duduk di tepi Hidayah. Akal Hidayah ligat memikirkan sesuatu.
“Alah, raya ke 5. Aku boleh balik awallah,” tak semena-mena, Hidayah bertempik girang. Bahu Syaqirah ditampar kasar. Ah! Jangan hairan dengan saiz badannya yang kurus kering itu. Sekali tampar, Syaqirah hanya terdaya mengerang halus. Dalam kepayahan, dia menjungkit kening.
“Apa hal?”
“Untuk kau, aku sanggup balik awal ke sini. Aku baliklah raya ke 5 tu sebelah pagi. Majlis nikah kau kan sebelah petang.”
Begitu Hidayah mencatur jadual perjalanannya. Ah! Nampak mudah sungguh buatnya.
“Settle, tak ada masalah pun,” Hidayah yakin sungguh.
Kalaulah benar andaian itu. Syaqirah mengeluh dalam diam. Kad kosong yang belum bertulis itu sudah dimasukkan oleh Hidayah ke dalam beg tangannya. Syaqirah sekadar mengangguk diiringi senyuman tawar. Tetapi, sepicing pun Hidayah tidak perasankan. Namun, ada getar yang menggelupur dalam jiwa bakal pengantin itu. Dipeluk erat agar tidak menempias sangsi kepada sahabatnya yang melebar senyum selalu. Kenapalah Hidayah lebih gembira berbanding dirinya selaku pengantin? Dia sendiri tidak tahu.
No comments:
Post a Comment